Wednesday, September 9, 2009

Menangani Perlumbaan Motosikal Haram

Kebanyakan mereka penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pekerja kilang (bahagian am), mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT). Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu atau tamat tempoh sah. Kebanyakan mereka juga sering menggunakan motosikal milik ibu bapa, abang, kawan, syarikat untuk berlumba. Agak menarik, mat rempit mempunyai sikap setia kawan yang cukup tinggi dan sering mengutamakan kumpulan. Contoh paling mudah ialah jika berlaku kemalangan sama ada ketika operasi atau berlumba, mereka akan melarikan rakan mereka dan motosikal secepat mungkin sebelum dicekup polis.



Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit. Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.


Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka disifatkan sebagai ‘kepala angin’ atau sanggup melakukan apa saja untuk mencari keseronokan manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor iaitu individu yang benar-benar sukakan motosikal.Kebanyakan mat motor ini pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan.“Ramai antara mat rempit yang mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ini membuktikan golongan itu menjadi antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara.“Kira-kira 24 peratus daripada mereka mengaku pernah terbabit dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng, vandalisme dan seks bebas.“Mereka terlalu muda dan masih belum terlewat untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Kebanyakan mereka berusia antara 14 hingga 25 tahun dan majoritinya berusia lingkungan 21 ke atas,” katanya. Usia terlalu muda juga menyebabkan mereka mudah taksub kepada ketua kumpulan terdiri daripada mat rempit senior. Ada antara mereka digelar ‘sifu, abang pendek, abang pendek’. Tidak menghairankan jika dikaji latar belakang mat rempit, ia menjurus kepada golongan yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Logiknya mereka juga mempunyai tahap pendidikan agak rendah dan ada antaranya tercicir daripada pengajian sekolah. Apa yang mereka tahu ialah mencari hiburan tetapi dengan cara tersendiri yang jelas membahayakan nyawa sendiri bahkan boleh menjadi igauan ngeri kepada pengguna jalan raya lain.






Bagaimana kita nak menangani masalah budaya merempit di kalangan remaja? Malah keadaan akan menjadi semakin serius sekiranya kita terus membiarkan mereka bermaharajalela. Lihat sajalah berapa banyak kes yang dikaitkan dengan mat-mat rempit ini. Seks bebas, ragut, dadah, bunuh dan sebagainya. Semuanya demi kepuasan diri masing-masing. Tidak dapat dinafikan ada juga di kalangan mat-mat rempit ini yang tidak terjebak dalam masalah yang VOY nyatakan tadi, tapi lumba haram yang disertai mereka boleh mengundang kecelakaan jalan raya kepada diri mereka dan juga orang awam.
Jadi apakah puncanya golongan belia ini merempit dan mengapa masyarakat kita gagal menanganinya?
Menurut Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, pensyarah di Universiti Sains Malaysia, budaya merempit ini gagal ditangani kerana disebabkan oleh sikap masayarakat kita sendiri. Dr. Azeem berpendapat masayarakat sering menuding jari kepada agensi penguatkuasaan seperti polis, dan JPJ apabila menyentuh mengenai isu rempit. Kita sebagai masyarakat tak boleh buat endah tak endah jer dengan perkara ini.
Ada betul jugak kata Dr. Azeem ni, tetapi mat-mat rempit ini mudah melenting apabila dicabar dan ditegur. Ada antara mereka ni tak makan saman. Takut-takut kita pulak yang akan menjadi sasaran diorang selepas ini. Tu yang ramai takut nak berbuat apa-apa.
Dr. Azeem juga berpendapat faktor utama kegiatan merempit adalah disebabkan golongan itu berasa bosan dan mahu mencari keseronokan ekstrem dalam hidup mereka. Faktor tersebut dibimbangi kemudiannya akan mengundang kepada masalah jenayah lain seperti pergaduhan, merompak, ragut dan rogol. Dalam hal ini, ibu bapa merupakan institusi utama yang perlu dipersalahkan kerana tidak memantau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya tahu anak-anak mereka berkawan dengan siapa, dan ke mana mereka pergi. Ibu bapa seharusnya membimbing dan bukannya mengharapkan para guru di sekolah semata-mata.
Satu lagi faktor yang VOY rasakan menarik minat remaja dan para belia untuk menyertai aktiviti perlumbaan haram ini adalah kehadiran filem-filem yang berunsur rempit dan budaya bebas di pawagam. Nak kata filem orang luar pun bukan. Filem buatan Malaysia lagi tu. Tajuk-tajuk filem seperti Rempit, dan Bohsia memang menjadi kegilaan di kalangan anak-anak muda masa kini. Memang tujuan asal filem-filem ini untuk memberi kesedaran. Persoalannya adakah mereka yang menonton dapat menerima mesej utama yang cuba disampaikan atau mereka hanya mahu melihat adegan-adegan panas dan ekstrem dalam filem itu saja? Korang lihat sendiri peningkatan kes perlumbaan haram selepas filem Rempit ditayangkan. Alasan utama pengarah dan penulis skrip adalah mereka cuba menunjukkan situasi sebenar masyarakat.




‘Mat Rempit’ merupakan istilah baru yang muncul dalam diari kehidupan anak-anak muda.‘Mat Rempit merujuk kepada gelagat atau perilaku anak muda yang terlibat dalam kegiatan lumba motosikal haram. Isu Mat Rempit dan kerenah buruk mereka sering kali dipaparkan dalam media negara. Kes yang melibatkan Mat Rempit sering menghias dada akhbar telah memeningkan masyarakat termasuk pihak polis. Mereka tidak pernah serik ditahan polis,dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atau melihat rakan ‘seperjuangan’ maut di depan mereka. Mereka terus menjadi raja di jalan raya dan terus angkuh memperlihatkan aksi akrobatik seperti dirasuk syaitan. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, budaya kumpulan motosikal ‘Hell-Angel’ itu ditiru secara tidak langsung oleh Mat Rempit sehingga mereka turut terjerumus dalam kegiatan jenayah. Statistik polis pula menunjukkan bahawa majoriti golongan berani mati ini terdiri daripada remaja yang masih bersekolah hinggalah remaja berusia 20-an yang bakal merajui Negara.

Masyarakat kita haruslah sama-sama berganding bahu mengenal pasti punca-punca gejala Mat Rempit dan mencari langkah-langkah yang sewajarnya untuk meminimumkan masalah ini.Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh media massa merupakan punca dominan kepada masalah Mat Rempit yang semakin berleluasa pada masa kini. Pengaruh budaya luar yang diserap ke dalam media massa telah meracuni fikiran belia. Perbuatan tidak bermoral Mat Rempit seperti penagihan dadah, seks bebas, pengambilan alkohol. Jenayah ragut, dan sebagainya sebenarnya meniru budaya ‘Hell-Angel’ dari Amerika Syarikat. Budaya tersebut telah disanjungi oleh remaja kerana menganggap ilusi ‘cool’ mereka sebagai aktiviti menyeronok. Selain itu, filem-filem yang mengandungi unsur-unsur perlumbaan juga terus mempengaruhi minda remaja. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, Fast And The Furious’, ‘Initial-D’, dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong golongan remaja mempelajari aksi-aski pelakon yang dianggap bergaya dalam filem-filem tersebut. Golongan Mat Rempit yang dipengaruhi oleh media massa pula ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.

Mereka juga bersikap memberontak dan sengaja tidak mahu memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakuan anak mereka juga mengakibatkan gejala Mat Rempit. Pada masa kini, sikap ibu bapa yang mementingkan aspek materialistik telah menyebabkan mereka begitu fanatik untuk mencari wang demi meningkatkan kehidupan mereka. Akibatnya, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa untuk mendidik anak mereka. Mereka tidak mengambl berat tentang keselamatan anak mereka dan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa berlesen. Situasi ini amat berbahaya kerana anak mereka yang tanpa lesen tidak mengetahui keselamatan dan kemungkinan besar terlibat dalam perlumbaan haram. Selain itu, mereka juga akan merayau-rayau di jalan raya. Mat rempit ini juga ibarat kutu rayau yang suka merayau dan mengganggu ketenteraman pada waktu malam. Di samping itu, sesetengah ibu bapa terlalu liberal terhadap sosial dan tidak pernah menegur tingkah laku anak mereka sudah tentu memburukkan keadaan ini. Sekiranya ibu bapa tidak berupaya memberi tunjuk ajar yang betul, sudah tentu jati diri anak yang dibentuk jauh rapuh. Sikap ibu bapa inilah ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan lurus.Isu Mat Rempit yang semakin berleluasa juga disebabkan oleh kelonggaran penguatkuasaan undang-undang.Contohnya, usaha polis trafik yang mengadakan sekatan jalan raya dan mengawasi pengerakan Mat Rempit seolah-olah diperlekehkan oleh golongan Mat Rempit.

Hal ini menyebabkan mereka semakin mendabik dada untuk mencabar kewibawaan undang-undang. Mereka yang bijak melarikan diri daripada pengawasan pihak berkuasa dan akan cuba beberapa kali untuk berlumba di atas jalan raya. Mereka tidak berasa jemu masuk ke lokap apabila ditangkap kerana mereka berupaya membayar kompaun atau saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mereka akan memberanikan diri untuk menperjudikan nyawa diri di atas jalan raya semata-mata untuk keseronokan. Menurut statistik yang dikeluarkan, gejala Mat Rempit bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur tetapi telah merebak hampir kesemua negeri di Malaysia. Suasana hening malam minggu juga bertukar menjadi bingit dan bising dengan deruman motosikal. Aksi-aksi mereka yang memperlihatkan ‘willy’ dan ‘wilkang’ amat berbahaya sekali bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada pengguna-pengguna jalan raya.Bagi membendung masalah Mat Rempit ini daripada terus berleluasa, langkah-langkah inisiatif haruslah diambil dengan secepat mungkin. Undang-undang yang lebih ketat dan sistematik dan haruslah dikuatkuasakan. Pihak polis haruslah meningkatkan langkah pnguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan golongan ini serta mengelakkan daripada amalan mengambil rasuah semasa mengambil tindakan terhadap mereka.Contohnya, polis trafik telah mengarahkan 5000 pengawai dan anggota menjalankan operasi secara besar-besaran untuk menangani masalah Mat Rempit bagi memastikan mereka tidak menggugat ketenteramam awam menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007. Cadangan untuk merampas motosikal dan menggantung lesen mereka yang terlibat dalam dalam gejala lumba haram juga terlihat sebagai satu prakasa yang dapat menangani masalah ini. Secara tidak langsung, langkah ini juga akan memberi isyarat yang nyata bahawa kerajaan memandang serius terhadap gejala Mat Rempit ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah drastik bagi menangani masalah ini.

Sikap ibu bapa yang seharusnya prihatin terhadap kegiatan anak mereka juga dapat mengurangkan gejala Mat Rempit. Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka juga harus dijadikan sebagai teladan yang baik terhadap anak-anak mereka supaya amalan-amalan bermoral dapat dicontohi oleh anak-anak mereka. Hal ini menggambarkan ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’ telah menunjukkan betapa pentingnya pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak. Ibu bapa juga harus mementingkan kebajikan anak mereka tetapi bukan kelihatan liberal tentang sosial. Sikap begini secara tidak langsung dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes yang membabitkan Mat Rempit. Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Mereka harus bersikap positif dan aktif dalam bekerjasama dengan pihak masyarakat supaya dapat membendung masalah ini. Sikap ibu bapa yang tidak endah terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka juga harus dielakkan. Hal ini dapat menjamin supaya gejala Mat Rempit dapat diatasi dengan mujarab.Kesimpulannya, masalah Mat Rempit haruslah dikekang secara bersepadu melalui kerjasama daripada pihak ibu bapa, masyarakat dan kerajaan. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sikap berganding bahu dan menggembleng kudrat antara pihak-pihak tertentu amat penting untuk meminimumkan gejala ini. Hal ini disebabkan Mat Rempit terdiri daripada golongan remaja belia yang bakal menerajui kepimpinan sesebuah negara. Mereka ini merupakan modal insan yang sangat berharga sekiranya didekati, dibimbing, dipupuk dengan nilai, dan akhlak yang mulia. Mereka perlu disemai dengan ciri-ciri berhemah tinggi, bertanggungjawab, cinta akan negara dan bangsa.

Kemungkinan dengan usaha tanpa henti daripada semua pihak, deruman enjin motosikal dan aksi gila Mat Rempit tidak akan kedengaran lagi pada suatu hari nanti. Oleh itu, isu Mat Rempit perlu diambil berat dan diminimumkan dengan segera agar masalah ini tidak menjadi duri dalam daging yang akan membobrok pembangunan sesebuah Negara.

UMURNYA baru mencecah 13 tahun ketika terlibat dalam kegiatan lumba motosikal haram. Namun, Alif sudah dianggap otai dalam geng pe;esit rempit.Kepandaiannya mengubah suai motosikal turut memberi kelebihan kepada anak muda yang berasal dari Ipoh, Perak, itu untuk merajai jalan-jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh.

“Saya tak ada motor sendiri waktu tu. Tetapi disebabkan keberanian saya, ramai kawan-kawan yang menawarkan motosikal mereka untuk saya berlumba,” kata Alif yang enggan wajahnya dirakam.Kini, umur Alif sudah mencecah 22 tahun.

Dalam tempoh sembilan tahun lalu, sudah beberapa kali dia terlepas daripada sekatan jalan raya pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).Walaupun sedar dengan seribu satu risiko berlumba secara haram, hatinya cepat ‘panas’ apabila ada penunggang motosikal lain yang sengaja membuat bising dengan memulas-mulas pendikit minyak sekuat hati.Cerita Alif, terlibat dalam kemalangan memang biasa berlaku namun jika ia melibatkan rakan sendiri, kesannya sangat mendalam.

“Saya pernah menyaksikan kemalangan yang melibatkan tiga orang rakan saya yang sedang berlumba membabitkan sebuah kereta Perodua Kembara,” katanya.Menurut Alif, perlumbaan tersebut baru saja dimulakan apabila kereta tersebut tiba-tiba muncul. Kerana tidak dapat mengawal motosikal yang ditunggang laju, ketiga-tiga motosikal rakan Alif merempuh bahagian hadapan, tepi dan belakang Kembara berkenaan.Akibatnya, dua daripada mereka parah manakala seorang lagi koma.

“Ketika kami keluarkan mereka dari bawah Kembara berkenaan, keadaan mereka hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.“Nak dijadikan cerita, pemandu dan wanita itu mendakwa mereka dikasari oleh kami manakala wanita itu pula dicabul. Memang kecoh masa tu.“Keadaan menjadi semakin panas apabila lelaki berkenaan bertindak mengundurkan Kembara tersebut dan melanggar seorang lagi mat rempit yang cuba menarik keluar rakan mereka yang terperosok di bawah kenderaan itu,” imbau Alif.

Daripada tiga saja yang tercedera, kini bertambah empat. Disebabkan tindakan pemandu Kembara tersebut, rakan rempit yang lain menterbalikkan kenderaan pacuan empat roda itu kerana marah.Malah pemandu tersebut turut dibelasah oleh mat rempit daripada kumpulan lain.Rebut habuanBercerita lanjut, pergaduhan serta pertikaman lidah biasa terjadi dalam kalangan mat motor walaupun ia melibatkan perkara remeh.Apabila ditanya mengenai perempuan yang menjadi habuan, jelas Alif, ia memang ada dan sebenarnya atas kerelaan gadis itu sendiri.“Selalunya, gadis-gadis ini akan ‘himpit’ mat motor yang menang.

Selain daripada dapat habuan, secara tak langsung, dia juga akan popular.“Begitu juga dengan pe;esit rempit, lagi banyak perlumbaan yang dia menang, lagi banyak habuan dia dapat dan jadi lebih terkenal,” kata Alif yang hanya memilik lesen memandu pada umur 18 tahun.Menyentuh mengenai wang pertaruhan, jelas Alif yang sekadar menamatkan pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, wang pertaruhan bergantung kepada bilangan pelumba dan jumlah wang yang hendak dipertaruhkan.“Ada yang sampai RM2,000. Ada juga hanya sekitar RM1,000. Lagi ‘gila’ perlumbaan tersebut, lagi tinggi ganjarannya,” jelasnya.Alif turut memberitahu, mereka akan menghantar pengintip terlebih dahulu untuk memastikan jalan yang akan digunakan untuk berlumba bebas daripada pengawasan pihak berkuasa.


Kini, Alif sudah matang usia dan fikiran. Dia tidak lagi berlumba secara serius. Malah, penubuhan sebuah kelab konvoi motosikal kuasa enjin kecil memberikan dimensi baru dalam kehidupannya.

“Saya tetap katakan berlumba motosikal ini adalah menyeronokkan. Tapi lebih seronok sekiranya dilakukan di litar yang sah dengan tahap keselamatan yang terjamin.

“Secara peribadi, memang menyakitkan apabila melihat kawan anda terlantar dengan keadaan patah-riuk, malah nyawa-nyawa ikan akibat kemalangan bodoh,” katanya.




Gejala lumba haram atau lebih dikenali dengan istilah mat rempit telah menjadi satu isu yang begitu memeningkan semua pihak. Pihak kerajaan berusaha mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai tindakan tetapi masih gagal. Begitu juga dengan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa yang turut berusaha menghalang anak-anak mereka terjerumus ke lembah hina ini hanya melihat kegagalan sahaja. Media massa dengan keupayaan mereka menyiarkan pelbagai program kesedaran turut menemukan jalan buntu dalam kemelut ini. Oleh itu, punca-punca yang menyebabkan masalah ini timbul harus dikaji secara mendalam untuk memastikan semua langkah yang diambil memang memberi kesan yang positif.

Sebenarnya masalah ini tercetus kerana kegagalan pihak ibu bapa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Maknanya, ibu bapa tidak berupaya mendidik anak mereka supaya menyedari bahawa lumba haram merupakan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Kegagalan ibu bapa ini mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan mereka untuk menjadi ibu bapa atau tidak memahami keperluan emosi anak mereka. Lantaran itu, anak mereka beralih ke arah lumba haram sebagai satu cara untuk memenuhi keperuan emosi mereka sebagai manusia yang perlu disayangi dan difahami perasaannya.


Untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak kerana keadaan dunia yang serba moden terutama era globalisasi ini turut menjadikan masalah lumba haram ini mudah merebak. Penyiaran program barat terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja di negara ini. Kehidupan yang serba moden mendedahkan remaja kita dengan pelbagai dugaan nafsu yang sukar untuk ditolak terutama kenikmatan lumba haram. Jelaslah, lumba haram bertambah ekoran bertambah modennya kkehidupan di negara ini terutama di bandar-bandar kosmopolitan.
Selain itu, kegagalan pihak kerajaan turut ketara terutama dalam menyediakan suasana kehidupan yang lebih ceria kepada remaja. Ketiadaan tempat untuk remaja meluangkan masa dengan berkesan turut menjadi faktor penentu merebaknya masalah ini. Begitu juga dengan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang kerja yang cukup membawa ramai remaja beralih ke arah lumba haram untuk memenuhi masa mereka. Oleh itu, kerajaan turut memikul kesalahan atas munculnya gejala negatif ini.Sikap masyarakat yang tidak prihatin menjadikan masalah ini berleluasa.

Kita tidak menganggap masalah ini masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat aktiviti umba haram di kawasan mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti negatif ini kerana tiadanya kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jelaslah, sikap masyarakat yang “bagai pucuk melepaskan duri masing-masing” menjadikan kemelut sosial ini berlanjutan sehingga sukar untuk dikawal sekarang.
Konlusinya, masalah lumba haram harus dibanteras segera menerusi kerjasama semua pihak. Remaja juga harus memiliki jati diri yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya untuk menyertai aktiviti lumba haram ini. Mereka harus memikirkan pendidikan, kerjaya dan masa depan mereka daripada memikirkan keseronokan sementara sahaja. Mungkin remaja harus merenung diri mereka sekarang. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini?

-------------------------------------------------------------------------------------------------


a) Punca lumba haram

Meningkatnya gejala lumba haram adalah berpunca daripada faktor-faktor berikut:-Pengaruh rakan sebaya.Filem atau drama lumba haram seperti KL Menjerit, Initial D dan The Fast and the Furious: Tokyo Drift. Walaupun penerbit filem-filem tersebut telah meletakkan amaran agar tidak meniru aksi-aksi lumba haram di dalam filem mereka, namun ramai pelumba haram yang tidak mengendahkan amaran tersebut.Novel, cerpen atau komik seperti siri manga Initial D.Majalah kenderaan ubahsuai.Permainan video seperti Need For Speed: Underground dan Need For Speed: Most Wanted.Kos untuk mengadakan perlumbaan sah di litar lumba seperti Litar Sepang adalah mahal berbanding lumba haram yang hanya memerlukan wang pertaruhan, duit minyak dan bayaran tol lebuhraya (jika ada).Penganjur yang menyediakan hadiah-hadiah, yang terdiri daripada kalangan bookie yang membuat keuntungan dari pertaruhan lumba haram tersebut.



b) Impak lumba haram (positif dan negatif)

Lumba haram sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya di kalangan pelumba haram motosikal. Terdapat juga kes langgar lari yang berpunca daripada lumba haram. Oleh itu, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya.Lumba haram turut menyumbang kepada gejala keruntuhan moral dan maksiat di kalangan remaja yang semakin serius kerana selain menyediakan hadiah wang yang sememangnya mempunyai kaitan dengan perjudian, penganjur perlumbaan haram juga turut menyediakan hadiah bohsia untuk ditiduri.Tidak dinafikan, perlumbaan haram turut berperanan dalam memajukan industri automotif berikutan penambahan jualan kereta dan motosikal serta pengubahsuaian kenderaan.Sungguhpun demikian, persaingan di kalangan pelumba haram mengakibatkan pelumba haram membazirkan banyak wang dengan sia-sia untuk mengubahsuai kenderaan mereka supaya lebih berkuasa dan tabiat sebegini sudah tentu merugikan diri mereka sendiri.Lumba haram juga adalah salah satu penyumbang utama kepada peningkatan kes kecurian kenderaan terutamanya motosikal dan kereta. Segelintir pelumba haram sanggup mencuri kenderaan kerana ingin dijadikan kenderaan perlumbaan serta kerana mahu mendapat kenderaan baru setelah kalah kerana dalam sesetengah kes, pelumba haram yang kalah terpaksa menyerahkan kenderaan mereka kepada pemenang.

c) Usaha mencegah lumba haram

Banyak pihak yang mengambil inisiatif bagi mengurangkan gejala lumba haram terutamanya di kalangan remaja seperti berikut:-Memperbanyakkan aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda. Di dalam kedua-dua perlumbaan tersebut penganjur perlumbaan mengenakan bayaran penyertaan yang rendah serta subsidi bagi peserta baru untuk menggalakkan remaja menyertainya.Memperbanyakkan rondaan serta pemantauan oleh pihak polis. Untuk membolehkan pihak polis membanteras gejala lumba haram dengan lebih berkesan, pihak polis perlu disediakan kereta atau motosikal yang lebih laju dan lebih berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kereta dan motosikal talaan kilang yang kurang berkuasa serta tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.Mengadakan kempen pemanduan berhemah di sekolah dan kawasan tumpuan awam.Menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah lumba haram.






-------------------------------------------------------------------------------------------------

Isu Mat Rempit tidak akan selesai kerana kita tidak reti mendekati mereka. Mat Rempit bukan lembu atau kerbau yang bisa dihalau masuk kandang mengikut kehendak kita. Mat Rempit adalah insan biasa seperti saya dan anda. Mereka adalah “produk” keluaran masyarakat moden berjiwa besar yang kerdil ilmu.

Walaupun negara kita dikategorikan dalam kumpulan negara membangun, tetapi dalam sesetengah perkara kita setaraf negara maju. Malah dalam hal tertentu, terutamanya yang berkaitan pembangunan fizikal kita berada di atas sesetengah negara maju.
Namun dalam pembangunan insaniah, kita agak ketinggalan. Walapun rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemurah dan prihatin tetapi hanya dalam hal tententu. Sikap prihatin kita tidak menyeluruh. Kita hanya prihatin dalam lingkungan sendiri sahaja.

Kita hanya peka terhadap kepincangan keluarga. Kepincangan dalam masyarakat jarang kita ambil pusing. Kita hidup bagai enau dalam belukar, berlumba melepaskan pucuk masing-masing. Berlumba bermakna bersaing. Dalam semua persaingan mesti ada yang kalah. Apabila ada menang, ada kalah, maka akan ada pula rasa tidak puas hati. Masyarakat yang dibesarkan dalam lingkungan perlumbaan, persaingan, kalah, menang dan tidak berpuas hati, sukar untuk bekerjasama. Kalau ada pun kerjasama, sekadar kerjasama secara paksaan atau terpaksa.
Masyarakat yang tidak ada semangat kerjasama secara ikhlas bakal membenihkan segala nilai negatif. Konsep perkongsian tidak dapat diterapkan. Nak berkongsi apa kalau masing-masing mahu “menang” dalam perlumbaan.Sebab itulah, setiap simbol perlumbaan mesti dielakkan. Malah, bersukan yang terlalu menitikberatkan kalah-menang mesti dihapuskan.
Saya menamakan masyarakat begini sebagai masyarakat yang “sakit” kerana keadaannya lebih tenat daripada “tidak sihat”.

Apakah yang dapat kita harapkan daripada orang sakit? Kita tidak dapat mengharapkan apa-apa selain kesembuhannya daripada sakit. Tidak masuk akal sekiranya kita mengharapkan seorang petani moden yang seliuh buku lali memanjat kelapa muda kerana kita dahaga air kelapa. Kita juga tidak boleh minta nelayan yang demam turun ke laut kerana kita kehabisan ikan di pasaran. Kita juga tidak boleh mendesak pakar ekonomi yang sedang berbaring di wad memikirkan cara meningkatkan ekonomi negara. Apa yang dapat kita lakukan ialah tunggu mereka baik dahulu. Mereka tidak akan baik tanpa doktor, rawatan dan ubat yang betul.
Berbalik kepada isu Mat Rempit. Mat Rempit ialah “hasil” yang dikeluarkan oleh masyarakat yang sakit. Kalau kita mahu “hasilnya” baik, pulihkan dahulu masyarakat itu.
Malah merempit ialah manifestasi daripada kehidupan masyarakat yang sentiasa berlumba-lumba. Siapa cepat dia dapat. Siapa kuat, dia di atas. Siapa lemah, dia di bawah. Mat Rempit ialah “produk” yang diusahakan oleh masyarakat kita sendiri. Bukankah kita yang mewujudkan suasana perlumbaan dan persaingan?

Masyarakat Kuala Lumpur dan kota besar yang lain begitu ramai yang sakit. Betapa tidak sakit, rumah cuma dua bilik, sedankgan anak berdozen, ada lelaki dan perempuan. Kehidupan dalam rumah yang sempit begini menekan dan mempengaruhi emosi.
Bosan di rumah kerana pengap dan sendat, keluar jalan-jalan. Hendak ke mana? Hendak tenangkan fikiran, taman-taman rekreasi jauh. Hendak cari hiburan semuanya berbayar. Jiwa remaja tidak sesuai berehat di masjid, gereja atau kuil. Nasib baik ada motosikal. Rempit sahajalah. Dapat menghiburkan hati walaupun berbahaya. Remaja mana takut bahaya. Semakin bahaya semakin teruja.

Pendekatan yang salah terhadap Mat Rempit bukan sahaja tidak membawa sebarang hasil, malah keadaan menjadi semakin teruk. Orang muda suka perkara yang mencabar. Jadi, apabila mereka terasa mereka sedang dicabar, mereka akan semakin galak, malah mungkin ganas.
Malah kebelakangan ini, Mat Rempit seperti mula mengganas. Mereka melanggar petugas trafik, merempuh kereta, memasuki laluan bertentangan apabila dikejar polis, membuli dan memukul mangsa dengan kejam. Oleh itu, kita tidak boleh lagi sekadar berteori atau bermadah tentang cara -cara mengatasi masalah ini. Kita mesti segera turun padang dengan berbekalkan kesungguhan.

Namun, pendekatan undang-undang belum tentu berkesan. Apabila mereka ditangkap, bukan mereka yang susah, tetapi ibu bapa mereka yang berendam air mata. Oleh itu, pendekatan yang sesuai harus difikirkan.

Dahulu saya salah seorang Mat Rempit. (Masa itu istilah Mat Rempit belum ada)Sewaktu jalan raya Kota Bharu – Pengkalan Chepa baru siap, saya dan kawan-kawan menjadi raja jalan di sana. Setiap malam Sabtu kami pergi merempit. Masa itu motosikal Yamaha RXS sangat popular kerana kelajuannya luar biasa. Malam yang paling seronok bukan malam dapat meniduri gadis jelita kerana menang lumba, tetapi malam yang dikejar polis. Seronok.
Selepas jalan raya Kota Bharu – Pengkalan Chepa jenuh dengan mata-mata, kami beralih ke Lebuh Raya Pasir Mas – Rantau Panjang. Pernah sekali motosikal kena angkut naik lori polis. Dua minggu murung. Lepas kaotim sama polis, lumba lagi.

Apa yang kami dapat dengan merempit? Sangat berharga. Dua orang rakan baik maut di atas jalan raya ketika sedang berlumba. Insaf? Ya. Tetapi bukan kerana kehilangan rakan, tetapi kerana nasihat daripada masyarakat yang prihatin. Masyarakat tidak pernah menghukum kami, jauh sekali menggelar kami ganas atau penjenayah remaja. Malah masyarakat memberikan kami kasih sayang seperti insan lain.

Namun, Mat Rempit dahulu dan Mat Rempit sekarang berbeza kerana “kesakitan” masyarakatnya berbeza. Remaja di kampung mempunyai sumber kewangan yang terhad. Jadi, nakalnya juga terhad.

Jiwa Mat Rempit begitu keras. Oleh itu, pendekatan yang keras pasti gagal. Benda keras berlanggar dengan benda keras akan pecah. Pendekatan lembut tetapi sesuai amat mustahak.
Ingat, Mat rempit bukan lembu atau kerbau. Oleh itu, kita mesti mendekati mereka dengan kesedaran bahawa mereka bukan punca penyakit tetapi “produk” yang terhasil daripada masyarakat yang “sakit”.
INFO: Mat Rempit
- 76 peratus pernah ditahan polis sekurang-kurangnya sekali atau kesalahan sama atau jenayah. - 24 peratus daripada mereka akan mat rempit baru (ikutan).
- 11 peratus daripada mereka adalah pelajar termasuk Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Kajian:
- pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah (560 responden)
- Faktor Pembabitan Mat Rempit (100 responden)
- Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (108 responden)
Kawasan kajian:
- Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang)
- Zon Tengah (Kuala Lumpur dan Perak)
- Zon Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan)
- Zon Selatan (Johor).
Antara geng mat rempit:
- Apache (Kuala Lumpur)
- Budak Shell (Kuala Lumpur)
- Man Botak (Pantai Timur)
- Man Kerinting (Pantai Timur)
- Skuter Boys (Sungai Besi, Kuala Lumpur)
Jenis motosikal paling popular digunakan mat rempit:
- Yamaha RXZ
- Honda EX5
- Yamaha Nuovo
- Suzuki 100
- Modenas Kriss
Cadangan:
1) Mewujudkan tempat aktiviti sesuai untuk mereka seperti litar lumba secara percuma.
2) Menghantar mat rempit menyertai aktiviti atau program yang mampu mengubah tingkah laku mereka dan wujudkan sikap saling menghargai.

4 comments:

  1. looks good
    but you copied directly from sources like
    http://satumalaysia.wordpress.com/2009/05/14/fahami-jiwa-mat-rempit/

    so some marks will be deducted.
    you should have understand the text and type in your own words.
    but other than that, you work is good.

    Mr. Teh

    ReplyDelete
  2. hie ur blog look very nice n i hope al d teenage boy read tis wan

    ReplyDelete
  3. haiyo... pls sumbody sen to us comments lar...

    ReplyDelete